Saturday, 28 March 2015

"Save Muhammad"

Suatu pengalaman pengembaraan alam mimpi telah menyedarkan saya betapa perlunya "Save Muhammad" itu!

Alkisah, Muhammad merupakan seorang kanak-kanak yang sedang meningkat usia belia. Muhammad mempunyai ibu ayah dan seorang kakak. Muhammad tidak mampu berfikir pantas, akalnya cetek, tindakannya lambat dan terpinga-pinga sentiasa. Namun Muhammad merupakan seorang remaja yang menghormati ayah, ibu, kakak dan sesiapa sahaja yang dijumpainya.

Suatu hari, Muhammad ditinggalkan oleh ibu dan ayah di belakang ketika berjalan menuju ke perut kapal terbang. Kakak memimpin tangan Muhammad berjalan di jalan berpasir kering yang ditiup angin panas sepoi-sepoi bahasa. Di atas langit, terdapat sebuah helikopter memantau pergerakan dari atas dan bergerak ke arah destinasi yang ditinggalkan Muhammad dan kakaknya. Menuruni anak tangga ke gelanggang bola keranjang yang dipenuhi anak muda yang mengenali Muhammad. Kakak sudah ke hadapan, Muhammad masih menuruni anak tangga dan singgah sebentar di pertengahan tangga, tempat sebahagian rakan-rakannya berkumpul.

 Kakak yang sedang berjalan di hadapan sudah berasa sangsi dan tidak selesa sebaik melintasi rakan-rakan Muhammad yang sedang bermain bola keranjang dan tiba-tiba menukar permainan baling dan sambut "dart" dari jarak hampir 5 meter dari tiang gol. Kakak terus toleh ke belakang. "Mana Muhammad ni? Muhammad ada dengan rakan-rakannya? Allah, bencana bakal menimpa Muhammad!" Katanya di dalam hati lantas mencari-cari kelibat Muhammad di sepanjang jalan yang telah ditinggalkan.

Lalu terpandang pada pergerakan rakan-rakan Muhammad yang menutup mata Muhammad dengan penutup mata hitam dan mengalihkan Muhammad ke bawah tiang gol berhampiran tangga. Dengan tidak melengahkan masa, kakak memanggil Muhammad dengan tegas agar Muhammad mendengar dan menuruti arahannya. "Muhammad, ke sini cepat!". Muhammad yang mendengar panggilan kakaknya, terus membuka kain penutup matanya dan bergegas sambil terpinga-pinga menuju arah kakaknya berada.

Rakan-rakan Muhammad sering mendera dan membuli Muhammad, namun pada Muhammad, itulah sahaja rakan-rakan yang dimilikinya dan dia amat menghormati rakan-rakannya itu walaupun pada kakaknya, itu bukanlah rakan, malah musuh yang mampu memusnahkan kehidupan Muhammad dengan izin Allah. Berlalulah Muhammad sambil dipimpin erat kakaknya disisi menuju ibu dan ayah yang sudah jauh ketinggalan di hadapan.

Gusar di hati kakak masih ada, takut sekiranya ada balingan "dart" tadi yang sudah mengena di bahagian belakang kepala adiknya ketika melangkah keluar tadi. Terbayang-bayang jika darah Muhammad tumpah ke bumi, pasti setiap rakan-rakan Muhammad itu tidak terlepas dari hukuman rejam kakaknya. Mungkin juga nyawa kakak Muhammad dalam bahaya jika "dart" tadi sudah dibaling dan mengena bahagian berhampiran dengan tulang belakangnya yang mampu sahaja menyebabkan kakak Muhammad lumpuh seumur hidup atau tertembus ke jantung hingga mati pada saat itu juga.

"Save Muhammad" merupakan kata-kata azimat bagi kakak Muhammad untuk sentiasa menjaga adiknya yang serba kekurangan dari aspek mental walaupun sihat pada zahirnya, sasa tubuhnya. "Save Muhammad" juga perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian. Siapa Muhammad? Muhammad ialah iman kita. Muhammad ialah aqidah kita. Manusia yang diciptakan Allah tak pernah sempurna, pasti ada cacatnya di mana-mana. Melainkan para anbiya yang dipelihara Allah dari kekurangan. Walaupun kita hampir ditinggalkan oleh generasi terdahulu yang hebat, alangkah baiknya jika kita bersama memandu "ahli keluarga" kita untuk menelusuri jalan kebenaran yang telah ditinggalkan jejak yang masih dapat dihidu dan dilihat arah panduannya.

Wallahua'lam.

*Setelah terjaga dari tidur yang panjang, digerakkan oleh bunyi "siren" kecemasan, bayangan kecemasan terus terdampar depan mata yang masih samar-samar antara alam kayangan dan kenyataan. "Mana Muhammad? Astaghfirullah.. Aku terjaga dari tidur yang panjang, dari mimpi yang memaknakan hidupku hari ini. "Save Muhammad!"

No comments:

Post a Comment